Tuesday 2 August 2011

so this is what I told them in the class,

UCAPAN OLEH
FAITZ AQIRA BIN NORDIN
BERTAJUK, ‘REALITI HIDUP DI ALAM REMAJA’
DI BILIK B 1-2, UITM KUALA TERENGGANU
PADA 2 OGOS 2011
JAM 5 PETANG

                Yang saya hormati, jurulatih kursus Pengucapan Awam, Puan Aniza Binti Mohamed dan rakan-rakan siswa siswi sekalian. Assalamualaikum dan salam ramadhan. Bersyukur ke hadrat dan limpah kurnia-Nya kerana pada petang ini kita mampu untuk melaksanakan tugas pertama untuk kursus ini. Kita berharap agar terus diberkati terutama di bulan yang mulia ini, insyaAllah.
Hadirin sekalian,
                Adakah anda semua masih berada di alam remaja?  Seperti yang kita sudah maklum, setiap daripada kita pada hari ini pastinya mempunyai topik yang menarik untuk disampaikan. Seperti juga saya, pada hari ini, saya akan membincangkan dan mengupas tentang  ‘Realiti Hidup Di Alam Remaja’.  Apa yang diharapkan , topik ini sedikit sebanyak dapat dijadikan pengajaran atau panduan  pada masa ini atau seterusnya.
Hadirin sekalian,
                Saya yakin dan percaya, kalian semua pernah merasai alam remaja, dan  ada juga yang masih di peringkat itu. 8 per 10 akan menjawab fasa yang paling seronok dilalui adalah di ketika fasa remaja. Mengapa? Kerana di ketika inilah mereka  akan melihat dunia luar. Pelbagai perkara yang mereka rasakan baru dalam hidup mereka setelah berbelas tahun hidup di bawah ketiak ibu masing-masing. Tiada undang-undang yang dapat menghalang mereka daripada melakukan sesuatu, bebas tanpa kawalan, seronok, dan itulah yang dicari selama mereka hidup di dunia yang fana ini. Merasakan diri sebegitu hebat sedangkan mereka tidak sedar, jasad dan akal mereka masih mentah, tidak dapat memilih mana yang betul dan palsu dan segalanya berkemungkinan untuk musnah sekelip mata jika haluan yang dipilih adalah laluan yang tidak dipilih manusia normal.
Hadirin sekalian,
                Cabaran hidup bermula seawal kita menarik nafas pertama. Tangisan dan teriakan ketika dilahirkan seolah-olah memberitahu mereka disekeliling bahawa kita tidak mampu ke dunia ini. Tetapi sebagai khalifah Allah s.w.t, kita harus meneruskan hidup ini demi menegakkan agama. Namun, adakah kita mencari khalifah yang mabuk setiap malam meneguk kencing syaitan? Berpeleseran tidak mengira keadaan? Atau khalifah yang sanggup membunuh mereka yang melahirkan kita demi sezahrah musuh Negara? Kita akan menarik nafas panjang, mengeluh tetapi inilah realiti yang berlaku disekeliling kita. Terkejut bukan? Apabila dihitung kembali segala kejahatan yang berlaku, kita akan berfikir dan bertanya, dimana perginya remaja yang baik-baik? Remaja yang berkualiti yang bakal menyambung semua empayar pada masa akan datang? Adakah mereka hanya akan meleburkan segala konkrit yang telah dibina? Hancur ranap lah hidup kita jika perkara ini betul-betul terjadi dan persoalan ini masih tergantung, tidak dapat dijawab oleh mana-mana pihak.
Hadirin sekalian,
                Adalah tidak adil, jika sesuatu perkara yang tidak enak berlaku, kita terus membabi-buta menyalahkan sesetengah pihak. Sebagai contoh, tidak perlulah kita terus menunding jari kepada ibu bapa mereka kononnya mereka tidak tahu mendidik anak, tiada masa kerana sibuk mencari harta duniawi dan sebagainya. Sebenarnya kita tidak tahu apakah punca sebenar remaja iaitu anak mereka berkelakuan sedemikian. Jadi adalah lebih baik jika kita membawa perkara ni ketengah dan berbincang daripada terus menyalahkan mereka. Masalah tidak selesai, dosa pula yang ditanggung. Seperti yang kita sedia maklum, remaja ini mempunyai jiwa yang memberontak. Pantang ditegur, beribu alasan yang diberikan. Silap ditegur, nyawa melayang. Itu adalah perkara normal dewasa ini. Jadi, dimanakah punca sebenar mereka berkelakuan begini? Adakah rakan-rakan yang menjahanamkan mereka? Atau sebenarnya dia yang menjahanamkan rakan-rakannya? Segalanya berkemungkinan. Saling merosakkan antara satu sama lain. Mungkin ini kelakar, dan inilah realitinya.
Hadirin sekalian,
                Sanggupkah kita pada suatu hari nanti berada dibawah tampuk pemerintahan mereka? Maka berlakulah korupsi yang tiada kesudahan, dan seolah-olah kita membuka ruang yang luas dan selesa kepada musuh untuk masuk dan menambah huru-hara? Relakah kita mengulang sejarah? Mengulang segala kepayahan yang dirasai oleh pejuang-pejuang beratus tahun dahulu? Mungkin difikiran mereka, ini semua kerja orang tua, tugas mereka? Berseronok selama mana mereka mampu. Mindset sebeginilah yang perlu diubah dalam diri mereka. Matlamat perlu dicapai dan dilaksanakan oleh semua pihak, bukan mereka yang berjawatan besar sahaja. Susah untuk melihat bakal pemimpin ketika ini, apa yang nampak, hanyalah bakal-bakal perompak besar, bakal-bakal pembunuh dan yang negatif-negatif sahaja. Bukan niat untuk menjatuhkan maruah bangsa sendiri, namun jika perkara ini tiada kesudahan, satu dunia pun turut memandang hina.
Hadirin sekalian,
                Justeru, kita sebagai siswa yang mempunyai masa depan yang cerah, tidak perlulah sedikit pun terlibat dengan perkara yang tidak baik. Saya pasti, kalian semua sudah tahu untuk menjaga diri masing-masing kerana kalian merupakan orang yang terpilih daripada puluhan ribu yang berada diluar sana. Ambillah segala pengajaran daripada apa yang kita lalui hingga sekarang. Ada pun kita pernah terpijak di dunia yang tidak betul, maka ambillah itu sebagai pengalaman pahit yang sukar dilupakan. Apa yang penting, diri perlu kuat secara rohaniah dan lahiriah untuk meneruskan kehidupan yang masih panjang. Ternyata fasa remaja bukanlah satu fasa yang mudah untuk diharungi, jika rosak kita pada masa ini, susahlah untuk kehadapan.
                Diharap kalian dapat mengambil sedikit sebanyak input yang disampaikan tadi. Ada pun kekhilafan saya semasa berucap, dan ada yang terasa hari, harap dimaafkan. Diri ini bukanlah terlalu perfect untuk mengkritik mana-mana pihak namun jika kita mempersoalkan perkara ini, kita akan nampak dan berfikir sedalamnya kerana perkara ini berlaku disekeliling kita. Sekian sahaja tugasan saya untuk kali ini.
                Sekian, terima kasih.
LIKE LA!:P

No comments:

Post a Comment